Wednesday, October 27, 2010

SIAPA YANG PATUT DI PERSALAHKAN?!! nyawa melayang gara-gara BOLA!!


Malam selasa lalu, kita digemparkan dengan satu lagi insiden membabitkan pergaduhan di antara penyokong pasukan Selangor dan Kelantan di Stadium Shah Alam. Apa yang berbeza kali ini ianya diburukkan lagi dengan satu kematian penyokong Kelantan yang disahkan akibat sesak nafas di samping beberapa kecederaan akibat pergaduhan yang berlaku di luar stadium.
siapa harus di persalahkan??
Sememangya apa yang terjadi amat menyedihkan. Namun apa yang ingin disampaikan di sini bukanlah bertujuan untuk membela mereka yang bersalah, jauh sekali untuk menghalalkan apa jua kejadian buruk yang menimpa, sebaliknya sekadar berkongsi luahan di sebalik apa yang telah berlaku.
Insiden negatif membabitkan penyokong Kelantan seringkali mendapat tempat ‘istimewa’ di media massa, baik di dada akhbar mahu pun televisyen. Sebut sahaja kejadian membakar kerusi stadium, membaling mercun, malah bertumbuk sekalipun, ramai menganggap perbuatan sedemikian sudah sinonim dengan penyokong Kelantan. Akan tetapi, apakah kejadian seperti yang dinyatakan tidak pernah terjadi di stadium-stadium lain? Adakah sikap penyokong-penyokong negeri lain terlalu sempurna hatta tidak pernah membakar walau sebiji mercun? Anda tahu jawapannya.
Apa yang diperhatikan dan sememangnya dikesalkan, segelintir pihak terus memburu isu membabitkan para penyokong Kelantan sebagai ‘modal’ menghiasi dada-dada akhbar mahupun untuk dialunkan di corong-corong radio. Topik sensasi sedemikian seolah-olah amat ditunggu-tunggu pihak terbabit. Mungkin ada yang cuba menafikan kenyataan ini, tapi pernahkah dihayati ayat-ayat yang disiarkan, di surat khabar dan televisyen contohnya.
Sekecil-kecil perkara akan diterjemah dengan nada dan gaya bahasa yang seolah-olah ianya bakal membawa malapetaka besar hanya kerana pelakunya seorang yang bergelar penyokong Kelantan. Harus diingat, ini langsung tidak menguntungkan mana-mana pihak. Tidak dapat tidak, ianya akan terus menyumbang ke arah memburukkan lagi keadaan di samping berterusan mengundang persepsi negatif terhadap penyokong tulen The Red Warriors yang panjang akal dan bencikan keganasan.
Masyarakat amnya  dan pihak media arus perdana khususnya perlu berlaku adil dalam menghakimi setiap perkara sebegini yang terjadi. Janganlah bersifat kuno dan sewenang-wenangnya melabelkan kesemua penyokong Kelantan sebagai samseng atau ‘gedebe’ tidak bertempat.  Luaskan minda dan jangan terlalu dangkal pemikiran. Luangkanlah masa merujuk beberapa page di dalam facebook berkaitan penyokong Kelantan misalnya. Kami juga mengutuk kekerasan dan keganasan, apatah lagi menyokong tindakan-tindakan tidak bertamadun ini seperti membaling  mercun dan membakar kerusi seperti yang pernah terjadi.
Di sebalik itu juga harus diingat, penyokong Kelantan juga pernah menjadi mangsa keganasan. Imbas kembali insiden yang pernah terjadi, contohnya peristiwa di Kangar tahun lalu di mana kereta dan bas-bas yang membawa penyokong Kelantan dibaling batu oleh segelintir penyokong Perlis. Tiada pihak yang secara serius memperkatakan tentang apa yang terjadi. Kerugian yang dialami pula pastinya bukan sedikit untuk ditanggung. Lebih mendukacita tetapi boleh diagak, perkara ini dipandang sepi pihak media mahupun Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sendiri hanya kerana yang pihak yang melakukannya bukan penyokong Kelantan. Sebaliknya, dapat dibayangkan betapa ‘meriahnya’ media massa sekiranya pihak Kelantan yang melakukannya. Inikah yang dinamakan keadilan?
Yang salah tetap salah dan patut dihukum. Tapi harus diingat, menentukan siapa yang bersalah lantas menjatuhkan hukuman bukanlah semudah menunding jari. Gunakanlah akal, rujuklah bukti, pasti yang bersalah dapat dicari. Tiap manusia berakal fikiran dan mempunyai nafsu amarah. Usahlah dibangkitkan api kemarahan sesiapa pun kerana pastinya  tidak menguntungkan sesiapa.
Pihak terbabit mainkanlah peranan yang lebih berkesan untuk memberikan berita yang tidak berat sebelah. Laporkanlah yang sebenar dan secara menyeluruh biarpun ianya ‘tidak popular’ dan sukar dipercayai kerana hakikat tetap hakikat. Walaupun mungkin perkara ini tidak akan berakhir di sini, sekurang-kurangnya diharapkan ada pihak yang membuka mata untuk bersifat lebih rasional dalam perkara ini. Moga insiden berdarah seperti ini tidak berulang lagi... 

PERSOALANNYA:benarkan pihak media berat sebelah??..       
               

No comments:

Post a Comment