Wednesday, November 3, 2010

TAJUK : WAWASAN 2020 MERUPAKAN WAWASAN MENUJU NEGARA MAJU. BINCANGKAN CABARAN YANG DIHADAPI DALAM USAHA MENCAPAI MATLAMATNYA UNTUK MEMUPUK HUBUNGAN ETNIK YANG HARMONIS.



PENGENALAN:
Pada tanggal 28 Februari 1991, mantan Perdana Menteri Malaysia yang ke-4, Yang Amat Berhormat Tun Dr. Mahathir Mohamed telah membentangkan satu kertas kerja yang bertajuk ‘Malaysia – Melangkah ke Hadapan’. Di dalam kertas kerja ini, beliau telah juga menbentangkan satu rangka kerja dan satu pemikiran mengenai matlamat negara kita, Malaysia untuk menjadi sebuah Negara maju pada tahun 2020. Rangka kerja dan pemikiran ini dikenali juga sebagai Wawasan 2020. Terma atau matlamat untuk menjadi Malaysia maju bukan sahaja terhad dari segi ekonomi, malahan juga ia merangkumi segala aspek kehidupan seperti sosial, politik, kerohanian, kebudayaan dan kejiwaan.
Tujuan wawasan 2020 ini ialah ingin mewujudkan Malaysia sebagai sebuah negara maju dengan cara yang tersendiri tanpa terikat kepada cara atau corak negara maju sekarang. Di dalam usaha untuk mencapai wawasan 2020 ini, sebanyak 9 cabaran telah dikenalpasti oleh kerajaan dan ianya perlu diatasi oleh seluruh rakyat Malaysia.

CABARAN UTAMA WAWASAN 2020 ;
1. Membentuk Negara Malaysia yang bersatu padu serta satu bangsa Malaysia yang mempunyai kesetian politik dan dedikasi kepada Negara.
2. mewujudkan sebuah masyarakat yang berjiwa bebas , tenteram dan maju dengan keyakinan terhadap diri sendiri, bangga dengan apa yang ada dan gagah menghadapi pelbagai masalah.
3. membentuk dan memperkembangkan sebuah masyarakat demokratik yang matang, yang mengamalkan satu bentuk demokrasi Malaysia yang unggul, berasaskan muafakat dan musyawarah, dan dapat dicontohi oleh banyak Negara membangun.
4. mewujudkan masyarakat yang bermoral dan beretika sepenuhnya, dengan para warganegaranya mempunyai nilai keagamaan dan kerohanian yang utuh, dan didorong oleh standard etika paling tinggi.
5. mewujudkan sebuah masyarakat matang yang bersifat liberal dan toleran, dengan setiap rakyat Malaysia bebas mengamalkan adat kebudayaan dan kepercayaan agama masing-masing, dan pada masa yang sama meletakkan kesetiaan mereka pada satu Negara.
6. Mewjudkan masyarakat saintifik dan progresif, masyarakat yang berdaya cipta dan                         berpandangan jauh, yakni masyarakat yang bukan sahaja menjadi pengguna            teknologi  malah menjadi penyumbang kepada tamadun saintifik dan teknologi masa        depan.
7. membentuk sebuah masyarakat berbudi dan berbudaya penyayang, sebuah masyarakat  yang lebih mementingkan masyarakat daripada diri sendiri.
8. membentuk sebuah masyarakat yang adil ekonominya, yakni masyarakat yang melaksanakan pengagihan kekayaan Negara secara adil lagi saksama
9. membentuk sebuah masyarakat yang makmur, dengan ekonominya yang mampu menghadapi persaingan, bersifat dinamik dan mempunyai daya ketahanan.


Cabaran 1:
Membentuk Sebuah Negara Bangsa Yang Bersatu Padu
Cabaran bagi membentuk sebuah negara bangsa yang bersatu padu ini memberikan kepada kita definasi bahawa ia merupakan cabaran untuk membentuk satu bangsa yang dikenali sebagai bangsa Malaysia yang meliputi seluruh rakyat Malaysia yang terdiri dari berbilang kaum. Cabaran ini adalah paling yang utama dan paling asas di dalam mengharungi cabaran menuju ke arah negara maju pada tahun 2020. Ini kerana jika tiada perpaduan dan rasa sama rata di bawah naungan satu bangsa yang dikenali sebagai bangsa Malaysia, maka segala usaha – usaha yang telah dirancang oleh kerajaan bagi mencapai matlamat wawasan 2020 ini adalah sia – sia.
Tidak ada gunanya jika kerajaan kerap kali menyeru rakyatnya untuk maju ke arah wawasan 2020 sekiranya ia tidak disertai, disokong atau diambil peduli oleh rakyat Malaysia sendiri. Kerajaan telah melakukan berbagai cara di dalam usahanya untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah Negara yang maju pada tahun 2020. Pembentukan sebagai sebuah negara yang bangsanya bersatu padu adalah satu perkara yang sangat berat dan sukar untuk dilakukan kerana ia boleh menimbulkan ketegangan akibat dari beberapa perkara yang sensitif Sejarah juga menunjukan bahawa pelbagai usaha telah diambil oleh kerajaan sejak dari dahulu lagi. Apatah lagi di dalam pembentukan sebuah bangsa Malaysia, penilitian yang telus perlu dilakukan. Cabaran ini dilihat sebagai satu cabaran yang berterusan kerana setiap kaum di Malaysia ingin mengekalkan identiti mereka yang tersendiri dari masa ke semasa.
Negara yang boleh kita ambil contoh di mana ia dapat menyatupadukan rakyatnya yang berbilang kaum dan suku ialah Indonesia. Jika kita tanya apakah bangsa mereka, sudah tentu mereka menjawab mereka berbangsa Indonesia.
Pihak kerajaan telah mengambil beberapa inisiatif di dalam usahanya untuk memupuk semangat jati diri dan minat seluruh rakyat untuk mewujudkan sebuah bangsa Malaysia menjelang tahun 2020. Antara inisiatif yang diambil ialah dengan memperkenalkan satu sistem persekolahan baru yang dikenali sebagai Sekolah Wawasan. Sekolah ini akan mengintegrasikan semua keperluan pendidikan setiap lapisan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum di bawah satu bumbung.
Sekolah wawasan ini merupakan pemangkin utama di dalam usaha kerajaan di dalam melahirkan bangsa Malaysia yang bersatu padu yang dapat hidup aman dan damai tanpa rasa tertindas di dalam arus kemajuan yang ingin dicapai. Inisiatif ini dilihat sebagai satu inisiatif yang sangat kritikal dan penting kerana semangat dan minat untuk menjadi satu bangsa yang dikenali sebagai bangsa Malaysia haruslah dipupuk di hati setiap lapisan masyarakat yang tinggal di Malaysia ketika usia mereka masih muda. Bersesuaian dengan pepatah Melayu yang menyebut ‘Melentur buluh biar dari rebungnya’.
Pada hari ini, jika kita melalui kawasan – kawasan perumahan terutamanya kawasan perumahan baru, pasti kita dapat lihat banyak sekolah wawasan ini dibina.Usaha ini dilihat sebagai satu usaha yang berterusan di mana tiada noktah harus diletak untuk diukur kejayaan usaha kerajaan ini. Hanya semangat yang ditunjukkan oleh para pelajar di sekolah – sekolah ini boleh kita ambil kira di dalam keberkesanan inisiatif ini.
Kita sebagai rakyat Malaysia seharusnya menyokong perlaksanaan sekolah wawasan ini. Ini kerana jika kita sebagai rakyat Malaysia tidak menyokong perlaksanaan ini, maka sia- sia sahajalah usaha kerajaan di dalam usahanya menjadikan Malaysia sebagai sebuah Negara maju pada tahun 2020. Sokongan yang dimaksudkan ialah dengan menghantar anak – anak kita untuk mendapatkan pendidikan mereka di sekolah wawasan ini. Walaubagaimanapun, masih ada segelintir atau sekumpulan kecil dari masyarakat kita yang masih enggan untuk menerima perlaksanaan sekolah wawasan ini.


Cabaran 2:
Melahirkan Sebuah Masyarakat Malaysia Yang Bebas, Teguh Dan Mempunyai Keyakinan Diri
Cabaran ini dilihat sebagai lanjutan cabaran yang diutarakan terdahulu di dalam kertas kerja ini. Jika masyarakat Malaysia yang bebas, tegus dan mempunyai keyakinan diri dapat dilahirkan, maka sudah tentu cabaran – cabaran yang digariskan di dalam 9 cabaran ke arah wawasan 2020 ini dapat di atasi dengan mudah. Ini kerana dengan mempunyai masyarakat yang mempunyai keyakinan diri yang tegus dan tinggi, kita sebagai rakyat Malaysia dapat menjadi lebih peka terhadap persekitaran yang boleh mempengaruhi dan sering berubah – ubah di dalam menghadapi pelbagai cabaran baru menjelang tahun 2020.
Lantaran dengan cabaran yang digariskan ini, pihak kerajaan Malaysia telah memperkenalkan satu program yang dikenali sebagai Program Latihan Khidmat Negara. Program ini dibentuk bagi kumpulan sasaran yang berumur 18 tahun ataupun golongan lepasan SPM. Program ini direka khas dengan mengambil kira usaha kerajaan di dalam meningkatkan keyakinan diri yang teguh di kalangan kumpulan sasar ini, rasa bangga dengan apa yang dicapai serta gagah di dalam menghadapi pelbagai cabaran dan masalah yang bakal mendatang.
Jika kita lihat dengan usia kumpulan sasar bagi program latihan khidmat Negara ini iaitu kumpulan remaja, ia amat bersesuaian kerana pada peringkat usia inilah kebanyakan dari mereka bakal dan akan diajar dengan pelbagai cabaran dari segi fizikal dan mental. Ia penting kerana kebanyakan peserta akan meneruskan segala usaha mereka bagi mencapai cita – cita mereka sama ada menyambung pelajaran mereka ke menara gading atau ada yang ingin terus bekerja selepas persekolahan. Pada peringkat inilah mereka akan menempuhi pelbagai cabaran yang boleh membantutkan usaha mereka di dalam mencapai cita – cita mereka.
Saya sebagai seorang rakyat Malaysia menyokong penuh dengan langkah kerajaan yang dengan memperkenalkan program latihan khidmat negara ini. Melalui program ini, kita bukan sahaja dapat meingkatkan ketahanan minda dan jiwa kita malahan melalui program ini kita dapat menanam sifat cintakan negara kita iaitu Malaysia. Sudah tentu jika saya mempunyai saudara atau anak yang layak menyertai program ini, saya pasti akan menggalakan mereka bagi menyertai program ini. Perkara ini bukan saya seorang sahaja malahan seluruh rakyat Malaysia seharusnya menyokong usaha ini dengan menggalakan remaja – remaja menyertai program latihan khidmat negara ini. Walaupun setelah hampir 2 tahun program ini dilaksanakan, masih lagi terdapat golongan yang mempertikaikan keberkesanan dan kewujudan program ini.

Cabaran 3 ;
membentuk dan memperkembangkan sebuah masyarakat demokratik yang matang, yang mengamalkan satu bentuk demokrasi Malaysia yang unggul, berasaskan muafakat dan musyawarah, dan dapat dicontohi oleh banyak Negara membangun.
Membentuk dan memperkembangkan sebuah masyarakat demokratik yang matang,yang mengamalkan satu bentuk demokrasi Malaysia yang unggul,berasaskan muafakat dan musyawarah dan dapat dicontohi oleh banyak Negara membangun.
      Dalam cabaran Wawasan 2020, usaha membentuk dan memperkembangkan sebuah masyarakat demokratik yang matang merupakan antara cabaran sangat penting dan sangat diperlukan bagi mencapai kemajuan bukan sahaja dari segi ekonomi malah,dari segi hubungan etnik antara kaum agar Negara kita dapat dijadikan sebagai contoh oleh banyak Negara luar yang maju dan sedang membangun.
      Demokrasi adalah berasal daripada perkataan Yunani hasil gabungan dua perkataan iaitu ‘demon’ yang bermaksud kuasa dan ‘creator’ yang bermaksud rakyat. Ia juga memberi maksud ‘kuasa rakyat’. Namun dalam sistem demokrasi yang moden sekarang ini,pelbagai unsur lain telah lahir bagi mengimbangi keperluan semasa termasuklah Malaysia yang mengamalkan demokrasi berparlimen yang meletakkan raja berperlembagaan sebagai salah satu struktur utama dalam pemerintahan Negara selain Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Matlamat demokrasi adalah melahirkan warganegara yang matang dan bebas berfikir serta yang mampu menggunakan peluang yang ada untuk kelangsungan hidup tanpa menjejaskan hak asasi manusia.
      Demokrasi yang matang adalah apabila kita berjaya meluaskan dan meningkatkan partisipasi rakyat,termasuk belia dan pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dalam struktur dan proses membuat keputusan dalam setiap bidang dan peringkat dengan adil,terbuka dan bertanggungjawab. Bagi mematangkan demokrasi pula,ia bersesuaian dengan realiti dan tuntutan semasa. Menurut Russell Dalton (2004) dalam bukunya Demokratic Challenges,Demokratik Choices,kini terdapat rakyat,terutamanya belia yang menolak skeptikal dan sinis terhadap pemimpin parti,dan institusi politik. Tetapi kita bernasib baik kerana mereka masih percaya terhadap demokrasi. Kepercayaan ini disatukan dengan gesaan demokrasi yang melampaui sistem demokrasi yang diamalkan kini. Dalam demokrasi,konsep partisipasi rakyat merujuk keoada pendekatan normatif yang melihat partisipasi bermatlamat bukan sahaja untuk mampertahankan fungsi institusi demokrasi,tetapi juga untuk mamantau perlakuan elit politik. Ia memerlukan partisipasi rakyat yang aktif seperti musyawarah,keterlibatan dalam proses membuat keputusan dan mengambil tindakan politik,termasuk dalam bentuk demokrasi langsung.
     Selain itu,demokrasi yang matang juga menjanjikan suara dan peranan rakyat di peringkat yang tinggi,manakala isu-isu rakyat di tangani dengan lebih cepat dan cermat. Sekiranya ia tidak dapat dilaksanakan,maka Negara tidak akan dapat berjaya mencapai Wawasan 2020. Sebagai contoh,di Negara asing seperti Amerika dikatakan sebuah Negara demokrasi yang dapat dijadikan contoh tetapi gagal membuktikan bahawa mereka adalah juara demokrasi kerana masih terdapat sekatan-sekatan yang bersifat diskriminasi terhadap minoriti di Negara tersebut secara langsung dan tidak langsung.

Cabaran 4 ;
mewujudkan masyarakat yang bermoral dan beretika sepenuhnya, dengan para warganegaranya mempunyai nilai keagamaan dan kerohanian yang utuh, dan didorong oleh standard etika paling tinggi.
Cabaran keempat memastikan masyarakat yag adil dalam bidang ekonomi. Iaitu masyarakat yang melaksanakan pengagihan kekayaan Negara secara adil dan sakasama di mana wujud perkongsian sepenuhnya bagi setiap rakyat rakyat dalam perkembangan ekonomi. Masyarakat sedemikian tidak akan wujud  jika masih ada pengenalan kaum berdasarkan fungsi ekonmi dan kesemua kemunduran ekonomi berdasarkan kaum.
Wujudnya satu masyarakat yang adil dalam bidang ekonomi dan sosial memang tidak dapat disangakal lagi sebagai satu cabaran yang besar dan perlu dihadapi bagi mewujudkan satu Negara maju dan bersatu. Hal ini kerana, dalam sebuah Negara maju tidak patut wujud keadaan di mana satu golongan kaum mempunyai segala-galanya sedangkan sesetengah kaum lagi tercicir dan mempunya taraf ekonomi yang mundur.
Pernyataan ini merupakan penekanan semula terhadap isu yang dibawa oleh Dasar Ekonomi Baru (DEB) iaitu pembasmian kemiskinan, penyusunan semula masyarakat berdasarkan keseimbangan sosio-ekonomi di antara kaum. Dalam konteks ini rakayat perlu paham dan sedar bagi setiap tindakan dan program yang di jalankan adalah untuk kemajuan dan pembangunan Negara bukannya memihak kepada kaum-kaum tertentu sahaja.

Cabaran 5 ;
mewujudkan sebuah masyarakat matang yang bersifat liberal dan toleran, dengan setiap rakyat Malaysia bebas mengamalkan adat kebudayaan dan kepercayaan agama masing-masing, dan pada masa yang sama meletakkan kesetiaan mereka pada satu Negara. 
Cabaran ke lima dalam merealisasikan wawasan 2020 adalah dalam mewujudkan sebuah masyarakat matang yang bersifat liberal dan toleran. Dalam usaha untuk memupuk nilai positif ini  setiap rakyat Malaysia diberi kebebasan untuk mengamalkan adat kebudayaan dan kepercayaan agama masing-masing dan pada masa yang sama meletakkan kesetiaan mereka pada satu Negara iaitu Malaysia.Selain itu,faktor yang mempengaruhi pembentukan masyarakat yang bersatu dalam Negara bangsa adalah sikap saling memahami dan menghormati adat resam,kebudayaan dan pegangan agama yang berbeza-beza antara kaum seterusnya masyarakat.Selanjutnya perpaduan Negara akan dicapai tanpa ada keraguan dan kesangsian antara satu kaum dengan kaum yang lain.Sehubungan itu lahirlah sebuah masyarakat yang bersatu dalam menjunjung kedaulatan Negara.
Perlembagaan Malaysia iaitu dalam perkara 11 menyatakan kebebasan seseorang individu untuk menganut agama yang ingin dianutinya tanpa paksaan mana-mana pihak.Perlembagaan tersebut menyatakan tiap-tiap kumpulan agama berhak menguruskan  hal ehwal agama sendiri tanpa campur tangan mana-mana pihak sama ada kerajaan atau pihak berkepentingan.Tiap-tiap kumpulan agama ini juga diberi kebebasan untuk menubuhkan dan menyenggara institusi-institusi bagi maksud agama juga khairat.Perlembagaan juga memperuntukkan tiap-tiap kumpulan ini untuk memperoleh dan memiliki harta dan mentadbir dan menggunakan harta tersebut mengikut undang-undang dalam perlembagaan.Demikian itu jelaslah bahawa Negara ini memberi kebebasan kepada rakyatnya yang terdiri dari pelbagai kaum yang mempunyai kepercayaan yang berbeza menganut agama mereka masing-masing.
Sikap saling memahami dan menghormati adat resam dan kebudayaan antara kaum dapat dipupuk dari peringkat awal lagi iaitu di peringkat sekolah rendah melalui penubuhan sekolah wawasan.Tujuan penubuhan sekolah wawasan untuk wewujudkan perpaduan dalam kalangan murid-murid yang berbagai-bagai bangsa dan latar belakang.Sekolah wawasan juga ditubuhkan untuk memupuk semangat integrasi dalam diri pelajar yang terdiri dari pelbagai aliran.Sekolah wawasan juga bertujuan untuk melahirkan generasi yang mempunyai  sifat toleransi dan persefahaman yang tinggi untuk membina masyarakat yang bersatu padu dan mendukung matlamat Negara.Tambahan pula,Sekolah wawasan ditubuhkan untuk menggalakkan interaksi yang maksimum antara warga sekolah yang terdiri dari pelbagai kaum melalui perkongsian peralatan dan kemudahan sekolah serta pelaksanaan aktiviti-aktiviti lain di sekolah.Sehubungan itu perpaduan rakyat dapat dipupuk seiring dengan matlamat Negara untuk melahirkan masyarakat yang bersatu padu  menjelang tahun 2020.
Selanjutnya untuk mewujudkan perpaduan antara kaum di Negara ini perasaan iri hati dan rasa sangsi antara kaum hendaklah dihapuskan.Perasaan ini akan timbul disebabkan ketidakseimbangan ekonomi berlaku iaitu apabila terdapat kaum yang menguasai sepenuhnya ekonomi sesebuah Negara menyebabkan timbul rasa tidak puas hati dalam kalangan kaum yang lain.Oleh itu kerajaan Malaysia memastikan semua kaum di Negara ini mendapat manfaat yang sama khususnya dalam ekonomi.Setiap kaum di negara ini diberikan hak kebebasan dalam menceburi bidang ekonomi dan tiada sebarang unsur diskriminasi sesama kaum.Setiap kaum juga diberikan keistimewaan yang sama rata bagi memastikan tidak timbul rasa tidak puas hati dalam kalangan mereka.


Cabaran  6:
Membentuk Masyarakat Yang Bersifat Sains Serta Progresif
Menurut kebanyakan bahan rujukan yang dirujuk bagi tugasan ini, cabaran ini bukan mengkehendaki rakyat Malaysia supaya menerima dan menggunapakai sains dan teknologi malahan mengkehendaki mereka untuk menjadi penyumbang kepada tamadun teknologi dunia masa kini. Dewasa ini jika kita lihat, bukanlah sukar bagi sesebuah negara untuk menakluk sebuah negara lain. Dengan kemajuan teknologi pada hari ini, hanya dengan menekan satu butang computer sahaja, sesebuah negara itu dapat melancarkan serangan tidak kira dari segi ketenteraan malahan dari segi ekonomi sesebuah negara lain. Disebabkan perkara ini lah , kerajaan kita telah menggariskan cabaran untuk membentuk masyarakat yang bersifat sains serta progresif di dalam 9 cabaran ke arah wawasan 2020.
Pelbagai inisiatif telah di ambil oleh pihak kerajaan di dalam membentuk masyarakat yang bersifat sains serta progresif. Antara inisiatif yang di ambil ialah membangunkan sebuah bandar pintar yang dikenali sebagai Cyberjaya, pengurangan cukai pendapatan melalui pembelian computer dan juga cadangan untuk menghantar rakyat Malaysia ke angkasa lepas. Pembangunan Cyberjaya ini bersama dengan insfrastruktur yang canggih, kerajaan juga telah mewujudkan satu hub iaitu dikenali dengan Koridor Raya Multimedia atau Multimedia Super Corridor (MSC) yang terletak di antara Cyberjaya dengan pusat bandar Kuala Lumpur. Syarikat – syarikat yang mempunyai ibu pejabat di koridor ini layak untuk memohon status syarikat MSC yang diberi beberapa keistimewaan baik dari segi kewangan ataupun penempatan pekerja.
Usaha ini dilihat dapat menarik minat rakyat Malaysia untuk mempelajari sains dan teknologi dengan kemasukan syarikat – syarikat asing yang boleh menawarkan gaji yang lumayan kepada mereka. Dengan ini, hasrat kerajaan untuk membentuk sebuah masyarakat yang bersifat sains dan progresif ini dapat dijayakan. Hasrat kerajaan untuk menghantar angkasawan rakyat Malaysia juga telah mata seluruh rakyat Malaysia tentang betapa seriusnya kerajaan kita di dalam membentuk masyarakat yang bersifat sains & progresif.
Sebagai rakyat Malaysia, kita seharusnya menyokong langkah kerajaan ini di dalam membentuk masyarakat yang bersifat sains dan progresif ini. Kejayaan di dalam mengatasi cabaran ini sudah dapat dilihat dengan ramainya anak – anak tempatan yang berkhidmat dan memegang jawatan penting di beberapa syarikat berstatus MSC. Penghasilan beberapa perisian computer yang canggih seperti perisian penentu arah kiblat di angkasa lepas oleh sekumpulan pelajar di University Kebangsaan Malaysia juga dilihat bahawa cabaran ini sedang di atasi dan membuktikan bahawa rakyat Malaysia juga mampu menjadi penyumbang kepada dunia sains pada hari ini.

Cabaran 7:
Membentuk Masyarakat Berbudi Dan Berbudaya Penyayang
Cabaran ini dipilih untuk dimuatkan di dalam kertas tugasan saya ini kerana saya beranggapan bahawa cabaran ini juga penting di dalam mengejar matlamat kerajaan untuk menjadi Malaysia maju pada tahun 2020. Di dalam menghadapi pelbagai cabaran di dalam arus pembangunan, kebajikan rakyat dan individu juga harus tidak ketinggalan untuk dipertingkatkan. Sejajar dengan budaya timur yang diterapkan oleh setiap lapisan masyarakat Malaysia pada hari ini, seharusnya budaya ini perlu diterapkan lagi walaupun Malaysia sedang giat di dalam usahanya untuk menjadi maju pada tahun 2020 agar rakyat Malaysia tidak terikut – terikut dengan budaya barat. Oleh hal yang sedemikian, bagi mengatasi cabaran ini kerajaan telah mewujudkan satu kementerian khusus bagi memantau dan melaksanakan beberapa langkah di dalam memastikan rakyat Malaysia menerapkan nilai berbudi dan berbudaya penyayang. Kementerian yang dimaksudkan ialah Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga yang diketuai oleh Dato’ Shahrizat Jalil. Sebagaimana yang kita tahu, keluarga adalah asas kepada pembentukan masyarakat manakala masyarakat adalah asas bagi pembentukan sesebuah negara.
Kesemua kemajuan yang ingin dikecapi dari segi ekonomi, social, kemasyarakatan, teknologi dan kerohanian ini haruslah seimbang agak tidak ada satu pun di antaranya ketinggalan. Pada hari ni, banyak kita baca di akhbar – akhbar tempatan yang melaporkan tentang kerendahan moral dan kurangnya budi masyarakat kita. Kita dikejutkan dengan insiden kes buli di kalangan pelajar sekolah yang menyebabkan kematian seorang pelajar yang tidak berdosa. Di sinilah, kesimbangan dari segi mental dan rohani rakyat harus diseimbangkan agar negara kita maju di samping rakyatnya mempunyai budi pekerti yang tinggi nilainya.
Bermula dengan kempen berbudi bahasa di kalangan kakitangan kerajaan, beberapa langkah telah mula diatur bagi menerapkan nilai berbudi dan berbudaya penyayang di kalangan rakyat Malaysia. Melalui kempen berbudi bahasa ini, kakitangan kerajaan telah dinasihatkan agar lebih mesra kepada pelanggan mereka yang terdiri dari pelbagai lapisan masyarakat. Kempen keluarga penyayang juga diperkenalkan bagi menerap nilai murni dan mesra di kalangan keluarga masyarakat Malaysia. Jika institusi kekeluargaan Malaysia tidak aman bagaimana pula hendak mencapai matlamat kerajaan untuk menjadikan Malaysia maju menjelang tahun 2020.
Kita sebagai rakyat Malaysia yang ingin melihat negara kita maju di tahun 2020 di samping ingin melihat institusi masyarakat kita disegani dengan nilai budi pekerti yang tinggi dan berbudaya penyayang ini haruslah menyokong usaha kerajaan ini. Caranya ialah dengan memulakan usaha – usaha ini dengan keluarga kita sendiri.Ini kerana keluarga adalah asas kepada pembentukan masyarakat dan masyarakat adalah asas kepada pembentukan keluarga.

Cabaran  8:
Menjamin Pembentukan Masyarakat Yang Adil Ekonominya
Cabaran ini merupakan cabaran yang besar kerana pengwujudan masyarakat yang adil ekonominya sangat penting . Ini bagi memastikan supaya Malaysia sebagai sebuah negara maju pada 2020 tidak wujud keadaan di mana ada segolongan rakyat yang tercicir di era kemajuan negara. Cabaran ini mengkehendaki Malaysia agar dapat atau berjaya mengagihkan kekakayaan negara sama adil dan sama rata kepada seluruh rakyatnya. Ini bermakna tidak ada rakyat pun ada merasakan mereka tertindas di sebalik kemajuan yang dikecapi oleh Malaysia.
Langkah kerajaan memperkenalkan Dasar Pembangunan Negara atau lebih dikenali dengan nama barunya Dasar Wawasan Negara pada Rancangan Malaysia Keenam ini, dilihat sebagai titik tolak kepada keadilan dalam sosio ekonomi rakyat Malaysia ini. Antara sasaran dasar ini ialah pemilikan ekuiti sebanyak 30% oleh bumiputra menjelang tahun 2020.Ini dilihat dapat meningkatkan tahap ekonomi kaum bumiputra sebagai memelihara ketuanan kaum ni di dalam menuju ke wawasan 2020.
Dasar Wawasan Negara ini juga mengkehendaki syarikat – syarikat agar mempunyai sekurang – kurang 30% dari keseluruhan warga kerja mereka adalah terdiri dari golongan kaum bumiputra. Ini dilihat sebagai satu usaha untuk memperseimbangkan golongan professional di kalangan rakyat Malaysia. Keseimbangan ini dapat menjamin kemajuan dikecapi dapat dirasai oleh setiap orang yang berlainan bangsa di negara kita.
Sebagai rakyat Malaysia, kita tidak seharuslah mempertikaikan mengenai usaha kerajaan ini, sebaliknya perlulah menggangap bahawa ia merupakan langkah yang terbaik di dalam memperbaiki ketidak-seimbangan yang berlaku selama ini di Malaysia. Saya sendiri bersetuju dengan langkah kerajaan ini kerajaan ini bukan kerana saya adalah kaum bumiputra tetapi atas nama bangsa Malaysia yang ingin melihat kestabilan ekonomi dan social dapat dikekalkan walaupun setelah Malaysia digelar sebagai sebuah negara maju pada tahun 2020.


Cabaran 9 ;
membentuk sebuah masyarakat yang makmur, dengan ekonominya yang mampu menghadapi persaingan, bersifat dinamik dan mempunyai daya ketahanan.
Cabaran ini jelas menunjukkan bahawa kerajaan mengambil serius tentang keseimbangan dari aspek ekonomi,politik dan sosiobudaya di Negara kita.Kadar pertumbuhan ekonomi yang tinggi ini sebenarnya tidak cukup untuk mengubah struktur sosioekonomi yang diwarisi daripada penjajah.Dasar-dasar yang dilaksanakan ternyata tidak memadai untuk memenuhi matlamat mengurangkan pengangguran,pengagihan pendapatan secara adil dan mengurangkan kadar kemiskinan.Fasa Rancangan Pembangunan Lima Tahun Negara antara tahun 1956 hingga 2010 ialah Rancangan Pembangunan Negara Fasa Pertama (1956-1970),Rancangan Pembangunan Negara Fasa Kedua (1971-1990) dan Rancangan Pembangunan Negara Fasa Ketiga (1991-2010).Pelaksanaan Dasar Wawasan 2020 merupakan dasar yang meneruskan aspirasi Dasar Ekonomi Baru dan Dasar Pembangunan Negara untuk mewujudkan masyarakat  bersatu padu,adil dan saksama.Dalam kandungan DEB adalah bermatlamat untuk membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat.Teras DEB adalah untuk mencapai perpaduan Negara dan keharmonian social melalui pembangunan sosoiekonomi yang seimbang di Malaysia.Ia juga dilaksanakan bagi memastikan kekayaan dan peluang ekonomi di Negara kita dapat dinikmati secara adil dan saksama oleh pelbagai etnik.Jelaslah bahawa kerajaan menitikberatkan keadilan semua masyarakat dalam aspek ekonomi bagi menghadapi persaingan dan mempunyai daya ketahanan.Salah satu dasar ialah DEB dimana perlaksanaannya berhasil apabila dapat dilihat keseluruhan kadar kemiskinan mutlak di Malaysia telah menurun dan meningkatkan pendapatan masyarakat seterusnya meningkatkan ekonomi Negara pada peringkat global.


Rumusan
      Jika kita lihat, Wawasan 2020 ini bukan satu wawasan yang mementingkan hanya mementingkan kemajuan negara sahaja malah ia juga mementingkan kemajuan insaniah di kalangan rakyatnya sendiri. Ini dapat dibuktikan dengan cabaran untuk mewujudkan masyarakat yang penyayang dan berbudi di samping ingin mewujudkan masyarakat yang berteraskan sains.
Ini jelas menunjukan komitmen kerajaan yang juga mementingkan elemen kemanusiaan di dalam mengejar arus kemajuan negara. Wawasan 2020 ini bukanlah omongan kosong sahaja tetapi ia harus menjadi cita – cita setiap lapisan masyarakat Malaysia. Melalui merekalah, impian untuk melihat Malaysia sebagai negara maju dapat direalisasikan.
Selain itu, wawasan 20020 merupakan wawasan menuju Negara maju. Namun,  bagi mencapai wawasan ini tidak semudah yang kita fikirkan. Pelbagai cabaran yang terpaksa di hadapi oleh pihak kerajaan bagi mencapai wawasan ini sepenuhnya pada tahun 2020. Antara cabaran utama yang kerajaan hadapi dalam mencapai matlamat ini ialah memupuk hubungan etnik yang harmoni di Malaysia. Oleh hal demikian, bagi merialisasikan hasrat kerajaan ini, semua rakyat haruslah bersatupadu dan saling bertolenrasi antara sama lain demi melahirkan keharmonian dalam masyarakat tidak kira agama, bangsa, dan keturunan. 






ini la kertas kerja hubungan etnik  ku bt sem1 nie.. :)





9 comments:

  1. blog ni dpt bntu sye mnyiapkn omwork pnjian am sye..thnks a lot.. ^^

    ReplyDelete
  2. tq a lot..this blog sgt membntu saya jawab exam..hehhe

    ReplyDelete
  3. thanks kak senior,info ni dpt bntu siap kan esaimen

    ReplyDelete
  4. terima kasih akak senior.. alhamdulillah dgn info ni dpatlah saya siapkan assignment sem 4 nih

    ReplyDelete
  5. Terima kasih!Dapat juga siapkan kerja sekolah..

    ReplyDelete